yahudi

Kebebasan akademik di Israel dan Palestin

Kebebasan akademik di Israel dan Palestin

Steven Rose (Artikel asal)

Ramai pembaca jurnal ini, seperti saya, mempunyai rakan-rakan dari Israel di mana penyelidikan mereka kita hormati, ada hubungan kerjasama, dan ada jalinan persahabatan. Namun, hubungan ini telah dihantui oleh pencabulan hak asasi manusia yang dikenakan ke atas rakyat Palestin, pelanggaran resolusi PBB oleh Israel dan sikap acuh tak acuh mereka terhadap undang-undang antarabangsa. Pada tahun 2002, rasa tidak senang ini telah dinyatakan secara umum oleh penyelidik Eropah dengan menghentikan kerjasama dengan institusi akademik Israel melalui Framework Programme untuk menggesa Israel mengambil langkah serius ke arah keamanan yang adil dan berkekalan. Beratus-ratus ahli akademik menurunkan tandatangan mereka. Hanna Nasir, presiden universiti Tebing Barat yang terkemuka, Birzeit, menghantar e-mel ringkas mengucapkan terima kasih kepada semua penandatangan: “Kami fikirkan Eropah telah melupakan kami.” Pada tahun-tahun berikutnya, dan terutamanya selepas pencerobohan Israel di Gaza, boikot akademik telah menjadi sebahagian kecil dari pergerakan yang semakin berkembang di kalangan masyarakat madani yang merasa marah dan berputus asa terhadap kegagalan institusi antarabangsa dan kerajaan untuk mengekang Israel.

Mereka yang berpihak kepada Israel menentang sebarang cadangan boikot. Ada juga yang merasa tidak selesa kerana ia akan mengancam kebebasan akademik. Bagi penyokong boikot, kebebasan akademik memang berharga, tetapi mereka tidak sanggup untuk menerima bahawa kebebasan akademik diberi keutamaan secara automatik berbanding hak asasi manusia. Generasi ahli akademik terdahulu yang memboikot dasar apartheid Afrika Selatan telah memilih hak asasi manusia. Bagaimana boikot akan dilaksanakan adalah masalah etika peribadi: ia mungkin, misalnya, bermakna tidak mengambil bahagian dalam program-program penyelidikan bersama, mengelak dari menghadiri persidangan di Israel dan menolak permohonan geran.

Tiga hujah yang menjadi dasar boikot: pertama, untuk menyokong rakan-rakan Palestin, di mana kebebasan akademik mereka dicabuli setiap hari dan menyokong seruan boikot mereka; kedua, penglibatan ramai ahli akademik dan institusi Israel dalam pelanggaran konvensyen antarabangsa berkenaan hak asasi manusia, dan keengganan institusi akademik Israel untuk mengakui bahawa kebebasan akademik rakan-rakan Palestin telah disekat; dan ketiga, kempen boikot dan keluar yang akan membantu memberikan tekanan ke atas kerajaan Israel supaya berunding dalam mencapai satu keamanan yang adil.

Berikut adalah beberapa contoh penafian kebebasan rakan-rakan Palestin kami dalam membuat penyelidikan, bergerak dan mengajar. Cubaan untuk mewujudkan satu projek penyelidikan bersama dengan rakan sekerja dari Birzeit gagal, apabila kami diberitahu bahawa Israel tidak akan membenarkan penggunaan tracers radioaktif. Telah menjadi rutin bagi pensyarah fisiologi di Birzeit ditahan di pusat pemeriksaan tentera dan dihalang daripada memberikan ceramah; pada satu ketika, seorang askar memberitahu bahawa sebagai ‘pembantu profesor’ beliau tidak layak untuk bersyarah – hanya ‘profesor penuh’ akan diberi kebenaran. Kadang-kadang hanya lelaki berusia 45 ke atas atau pelajar perempuan sahaja dibenarkan untuk lepas dari pemeriksaan. Gangguan dengan justifikasi pelik dan memalukan itu menyebabkan situasi akademik Palestin terganggu. Hakikat bahawa beberapa saintis berjaya menyimpan profil penyelidikan bioperubatan menjadi sukar untuk dipercayai.

Di Gaza, situasi lebih teruk. Islamic University, institusi akademik terkemuka Gaza, telah musnah semasa serangan Israel. Pendidikan di semua peringkat hampir runtuh semasa berlakunya sekatan. Membawa masuk buku-buku dan bahan-bahan bertulis adalah dilarang, dan pelajar Gaza dihalang daripada perjalanan ke Tebing Barat dan dari mengambil biasiswa luar negara. Keadaan rakyat Palestin di Israel sendiri pun tidak mudah. Baru-baru ini, Pusat Carmel di Universiti Haifa membatalkan kursus perakaunan kerana, menurut jurucakap, majoriti pelajar adalah Arab (Anon, 2009).

Ada yang menjangkakan ahli akademik Israel akan membantah pembatalan kebebasan akademik rakan-rakan Palestin mereka. Namun, dengan beberapa pengecualian yang berani, respon adalah diam dan pasif ataupun satu penglibatan yang aktif (Rose & Rose, 2008). Selepas pencerobohan Gaza, pakar biologi evolusi Eva Jablonka dari Universiti Tel-Aviv dan rakan-rakannya meminta 9,000 ahli akademik Israel untuk menandatangani kenyataan mempertahankan kebebasan akademik Palestin; namun hanya lebih kurang 400 orang yang memberi maklumbalas (Fisch et al, 2009). Begitu juga dengan penyokong Israel di luar negara; tiada seorang pun dari 450 presiden di kolej Amerika, yang mengecam seruan boikot itu, membantah kemusnahan Universiti Islam di Gaza (Gordon & Halper, 2008). Seperti yang ditulis oleh mendiang Tanya Reinhart, profesor linguistik di Universiti Tel-Aviv: “Tidak pernah dalam sejarah Senat di mana-mana universiti di Israel meluluskan resolusi membantah kekerapan penutupan universiti-universiti di Palestin, apatah lagi bantahan terhadap kemusnahan yang berlaku di sana.. Jika pelanggaran hak asasi manusia dan prinsip-prinsip moral berada dalam keadaan melampau, ahli akademik tidak mahu mengkritik dan mengambil bahagian, mereka bekerjasama dengan sistem yang menekan itu, “(Reinhart, 2003).

Dugaan terhebat sesuatu boikot adalah peranannya dalam mengubah dasar-dasar mereka yang diboikot. Kekecohan yang timbul dari penentang boikot, tuduhan ad hominem terhadap para penandatangan, dan gerakan Israel melobi Amerika Syarikat untuk mencabar kesahihan tentang apa yang mempengaruhi keputusan moral individu, membuktikan bahawa ia telah menyentuh satu sudut yang sensitif. Bagi Israel, akademi adalah di tempat kedua selepas ketenteraan dalam prestij negara. Penyertaan Israel dalam Kawasan Penyelidikan Eropah menjadi suatu simbolik terhadap aspirasi mereka untuk dianggap sebagai sebahagian daripada Eropah berbanding menjadi sebahagian Timur Tengah. Tetapi lebih dari itu, sains adalah satu kuasa ekonomi utama Israel. Kerajaan Israel seolah-olah tidak bersedia untuk membantu menggerakkan Israel ke arah mencapai keamanan yang adil dengan rakyat Palestin di mana negerinya mereka menduduki, oleh itu tindak balas individu sebagai sebahagian daripada masyarakat sivil mungkin satu-satunya jalan penyelesaian.

Artikel asal: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2775187/

 

Advertisements